Saturday, May 16, 2009

Selamat bertemu semula

Assalamualaikum dan salam perjuangan buat semua,

Setelah sekian lama tidak mengemaskini blog ini, akhirnya saya diberi kesempatan untuk berbuat demikian. Setelah beberapa hari berkampung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), akhirnya ada juga masa untuk saya melihat dan mungkin berkongsi pengalaman yang didapati melalui program tersebut.

Sesungguhnya, Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA yang baru saja berlangsung telah memberi seribu pengertian buat saya dan mungkin juga buat rakan-rakan MPP yang lain. Terdapat pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pemimpin mahasiswa untuk diberi perhatian bersama bagi mencapai satu resolusi untuk melihat pembaharuan terutama sekali yang berkaitan dengan mahasiswa terbabit. Di samping itu juga, saya kira konvensyen ini telah memberikan satu platform kepada pemimpin mahasiswa seluruh negara dalam pelbagai aspek. Inilah medan yang saya kira pemimpin mahasiswa dapat berjumpa dan berinteraksi bersama tokoh-tokoh dan juga pemimpin-pemimpin. Peluang bersama dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Datuk Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ramlah Adam, Datuk Dr Adham Baba, Naib-naib Canselor IPTA, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan juga pemimpin-pemimpin mahasiswa itu sendiri.

Selain itu, hubungan baik sesama MPP pun dapat dieratkan dengan lebih baik lagi dan kami dapat bergaul dengan lebih mesra dan rapat lagi di antara satu sama lain. Selain itu, kami juga diberi kesempatan untuk berkhidmat kepada masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

Mungkin setakat itu celoteh yang dapat sisampaikan pada waktu ini. Dan saya akan terus berkongsi segala isu yang relevan untuk dibincangkan hasil daripada Konvensyen yang saya sertai baru-baru ini

Tuesday, May 12, 2009

Kawan lama dan senam seni ala Malaysia

Kadang- kadang kita mesti sudah lama tidak berjumpa dengan rakan-rakan lama. Lebih-lebih lagi rakan-rakan yang dahulunya rapat dan sentiasa bersama mereka. Dan kalau kita dapat berjumpa alangkah seronoknya. Saya diberi kesempatan untk berjumpa kembali rakan-rakan lama saya yang pernah dikenali semasa saya menyertai Kelab Debat dan Pidato UiTM Terengganu. Inipun gara-gara MPP UiTM dijemput untuk menyambut ketibaan Yang Berhormat Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang melawat dan ingin berjumpa dengan pelajar UiTM dan juga pendebat-pendebat UiTM. Sepanjang program ini berlangsung, saya sempat berjumpa dengan rakan-rakan lama seperti Zarul, Mon, Kay, Sam, Yasmin dan lain-lain lagi. Yang paling penting, mereka tetap seperti dahulu, pantang ada silap mesti kena lahar kaw-kaw. Seronok juga sekali-sekala dapat jumpa mereka. Walau apa sekalipun, tahniah kepada Kelab Debat kerana Berjaya mengendalikan majlis tersebut dengan baik. Yang paling menarik sekali, Datuk Saifuddin ada facebook sendiri yang digunakan untuk berkomunikasi dengan rakyat terutama sekali pelajar-pelajar IPT. Dan saya difahamkan, beliau juga ada hari facebook untuk beliau melihat dan mengemaskini semua profil beliau. Lihatlah betapa gigihnya seorang pemimpin untuk mendekatkan diri mereka dengan rakyat

Pada sebelah malamnya, saya dan rakan-rakan MPP lain menjalani latihan Senam Seni Alam. Mula-mula ingatkan latihan ini seperti biasa sahaja. Rupa-rupanya kami kena betul-betul berlatih seperti pelajar-pelajar AF berlatih. Penat juga rupanya berlatih tarian lebih-lebih lagi saya yang jarang melakukan gerak yang lembut-lembut. Elakar pun ada juga, ialah kami semua kebanyakannya tidak pandai menari. Bak kata jurulatih, ada yang macam kongkangla, robot la dan ada juga yang menari off beat. Untuk pengetahuan semua, senaman ini akan dipersembahkan sewaktu Minggu Mesra Siswa pelajar asasi UiTM yang akan berlangsung pada 23-23-28 Mei yang akan datang. Tapi yang tidak berapa seronok, lepas berlatih, terus kami semua pergi minum dan makan. Saya pula, baru rasa peut macam kempis sedikit, tapi sekarang rasa macam dah naik balik pula.

Apa-apapun, pesanan saya ialah, jagalah kesihatan anda. Amalkan pemakanan yang sihat dan bersenam tiga kali seminggu selama 20 minit. (walaupun jarang sekali saya mengikutinya)

Monday, May 11, 2009

Aku dan kenangan

Pada 10 Mei 2009, saya berpeluang berjumpa dan meluangkan masa bersama dengan adik beradik saya di dalam organisasi MPP UiTM 09/10. Tentu sahaja banyak cerita yang dikongsi dan juga kami semua dapat meluangkan masa bersama kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan peperiksaan akhir semester. Malah, ianya lebih seronok lagi kerana masing-masing telah pun terlepas dari kekangan peperiksaan.

Antara perkara yang ingin saya berkongsi dengan anda semua ialah mengenai ada sebilangan di antara kami yang berkongsi pengalaman mereka semasa kecil. Saya pun tidak terkecuali untuk bercerita pengalaman saya. Masing-masing ada keunikan cerita mereka dan yang pasti, setiap dari kami mempunyai cerita-cerita zaman dahulu kala yang boleh mencuit hati.

Setiap orang mesti mempunyai kenangan waktu kecil yang kelakar dan manis untuk diingati sampai bila-bila. Mungkin ada cerita tersebut yang akan dikongsi dengan anak-anak mereka satu hari nanti. Tentu sekali anak-anak tidak menyangka bahawa ibu bapa mereka mempunyai kisah-kisah seperti itu pada waktu mereka kecil.

Sebenarnya, kita memang akan sentiasa hidup di dalam kenangan dan sejarah kita tersendiri . Tanpa perkara ini, ianya pasti tidak akan membentuk siapa diri kita pada hari ini. Contohnya, orang yang pernah gagal akan menggunakan perkara tersebut untuk memotivasikan diri mereka untuk berjaya. Kita boleh lihat betapa ianya mampu mengubah kehidupan dan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara.

Yang paling penting, biarlah kenangan tersebut menjadi lipatan sejarah dalam hidup kita. Supaya kita akan sentiasa memandang ke belakang untuk dijadikan panduan di masa akan datang. Jangan pula kita hanyut dalam kenangan yang indah sehingga kita lupa bahawa langit itu tidak sentiasa cerah. Dan jangan pula kita dikongkong kenangan yang pahit sehingga kita merasakan itulah hentian terkahir dalam hidup. Tanpa kenangan tidak bereti hidup dan dengan kenangan itulah mungki kita akan tersenyum manis bila kita memikirkannya.


I'm not afraid of tomorrow,
because I feel yesterday
and I love today


Saturday, May 9, 2009

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam perkenalan buat semua

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyimpan hasrat dan cita-cita, akhirnya dapat juga saya mengadakan laman blog saya sendiri. Blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi idea, pandangan dan pendapat saya mengenai isu-isu yang berlaku di sekeliling kita termasuk isu-isu di sekitar UiTM. Semoga lontaran idea dan pandangan ini dapat digarap sepenuhnya dan juga semua informasi terkini dapat disampaikan dengan sebaiknya kepada anda semua.

Akhir kata, semoga anda semua berpuas hati dengan apa yang disajikan di dalam blog ini. Walaupun ianya amatlah simple, tetapi saya akan berusaha untuk menjadikannya lebih baik lagi pada masa-masa akan datang. Sekali lagi, ribuan penghargaan saya kalungkan untuk anda yang sudi meluangkan masa menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini